Sunday, July 11, 2010

Biskut.....

PERAYAAN dan makanan - dua perkara yang kerap bersatu ibarat ‘isi dan kuku’. Di Malaysia, keadaannya lebih unik kerana kita ada banyak perayaan yang disambut, maka makin pelbagailah jenis makanannya.

Lebih menarik setiap perayaan mempunyai makanan tradisi masing-masing. Kalau Hari Raya Aidilfitri dengan rendang dan ketupat, Deepavali pula maruku dan ladu, Tahun Baru Cina tidak boleh dipisahkan Yee Sang dan begitu juga Hari Krismas yang popular dengan ayam belanda panggang dan biskut berwarna-warni.

Selain Santa Claus dan hiasan pokok Krismas, satu lagi eleman yang tidak boleh ditinggal semasa perayaan yang juga dipanggil Hari Natal ialah biskut Krismas.

Kehadiran biskut yang pelbagai rasa, warna, rupa dan bentuk, di samping hidangan-hidangan tradisional lain memeriahkan lagi suasana dan semangat Krismas.

Menelusuri sejarah biskut Krismas, perkataan biskut atau cookies pertama kali ditemui dalam bentuk cetakan ialah pada tahun 1703.

Begitu pun, sejarah biskut Krismas telah bermula sejak 10,000 tahun lalu apabila petani-petani zaman Neolithic, gemar menyediakan makanan mereka dengan kaedah membakar. Gandum yang dibentuk sebagai doh akan dibakar di atas batu panas.

Resipi asal biskut Krismas dikatakan bermula di zaman pertengahan Eropah. Lebkuchen atau gingerbread (biskut/kek halia) dikatakan biskut atau kek pertama yang secara tradisinya dikaitkan dengan Krismas.

Amalan membuat biskut Krismas tersebar luas di seluruh Eropah. Hampir setiap rumah membuat biskut mereka sendiri dengan pelbagai rasa dan nama. Selain Lebkuchen, orang Sweden gemarkan Paparkakor (biskut pedas mengandungi halia dan lada hitam) dan Krumkake (kepingan nipis berperisa limau) pula pilihan orang Norway.

Seperti dalam banyak perkara lain, biskut Krismas turut melalui evolusinya tersendiri dengan kepelbagaian rasa, rupa dan bentuk.

Apa pun bagi penganut Kristian, biskut Krismas kekal sebagai sebahagian daripada ‘semangat Krismas’ itu sendiri.


Tradisi

“Kadang-kadang saya terfikir, kenapa setiap tahun perlu bersusah payah hanya semata-mata untuk menyambut kedatangan satu hari itu, tetapi saya sedar ia adalah sebahagian tradisi tidak bertulis di mana tanpanya Krismas tidak akan meriah.

“Setiap tahun menjelang krismas emak saya akan mula sibuk mencari ayam belanda. Tidak kurang daripada 30 ekor ayam belanda akan dipanggang untuk diberi kepada rakan-rakan, jiran atau untuk hidangan keluarga.

“Waktu ini juga semua ahli keluarga akan berkumpul dan satu perkara yang tidak boleh ditinggalkan ialah masak dan makan hidangan Krismas bersama-sama.

“Seiring dengan semangat Krismas, tahun ini sambutan lebih bermakna kerana kami juga akan berkongsi resipi keluarga dengan pelanggan di Delicious.

“Selain biskut-biskut yang saya sebutkan tadi, kami juga menyajikan pelanggan dengan ayam belanda panggang resipi asal ibu saya, daging panggang bersama puding Yokshire, pai Shepherd, pai daging Wagyu, Classic Christmas Trifle dan banyak lagi,” katanya.

Menariknya, bukan sekadar dinikmati di restoran, makanan-makanan istimewa itu juga boleh ditempah untuk jamuan di rumah mengikut jumlah minimum yang ditetapkan.

Sajian tradisi Krismas

Puding Plum (Puding Krismas)

Puding Krismas, telah wujud pada awal kurun ke 15. Resipi asli dihasilkan daripada daging lembu, bawang putih dan sayur-sayuran serta buah-buah kering. Pada kurun ke 16, kismis dan buah prun telah dimasukan ke dalamnya. Plum adalah merujuk kepada buah prun tersebut.

Biskut-biskut Krismas

Membuat kek dan biskut yang pelbagai saiz dan jenis adalah amalan yang biasa sebelum Krismas. Tukang masak dahulu telah menyediakan biskut manis untuk menandakan bahawa sesuatu keramaian itu adalah penting. Biskut krismas biasan yang mengandungi pelbagai jenis bahan di dalamnya seperti halia, lada hitam, almond, buah-buah kering, kayu manis dan sebagainya. Denmark dan Jerman memperkenalkan acuan biskut, hiasan dan perhiasan untuk perayaan. Kek/biskut halia (gingerbread) adalah kek/biskut tradisional pertama diperkenalkan pada Hari Krismas. Orang Inggeris pula memperkenalkan biskut bergula.

Kek Buah

Kek buah adalah hidangan istimewa masyarakat British. Pada kurun ke 13, buah-buah kering telah dibawa ke Britain dari Portugal dan timur Mediterranean. Kek ini dihidangkan pada setiap perayaan semenjak awal kurun ke 18. Ia menjadi salah satu hidangan yang menarik pada Hari Krismas.

Gula-gula (Candy Canes)

Kenapa sesetengah gula-gula berkait rapat dengan Krismas? Beratus tahun dahulu, gula sangat mahal. Ia adalah hidangan istimewa pada hari cuti dan keramaian seperti Krismas dan perkahwinan.

Dalam sejarah pemakanan, gula-gula dikatakan dibuat untuk tujuan perubatan. Konsep ini dibawa oleh pakar perubatan Islam. Gula yang digunakan secara tidak ketara dalam perubatan oleh bangsa Arab memberikan idea kepada orang-orang Eropah tentang kebaikan yang tersembunyi pada gula.

Pai daging dan buah-buahan kisar

Berdasarkan kepada pengkaji sejarah makanan, pai buah-buah kering telah wujud sejak zaman pertengahan Eropah. Selain daging, resipi ini pada ketika itu, juga mengandungi buah-buahan kering, gula dan rempah. Disebabkan wujud perbezaan antara buah-buah kering dan daging kisar pada pertengahan kurun ke 19, daging tidak dimasukkan lagi sebagai salah satu ramuan.

Biskut/kek Halia (gingerbread)

Gingerbread telah dihias dengan menekankan ciri-ciri acuan kayu. Acuan tersebut kadang-kadang sangat besar, teliti dan mempunyai bentuk yang sangat cantik. Di Britain, kebiasaan bentuk kek ini adalah bentuk lelaki dan khinzir terutamanya untuk upacara Malam Unggun Api (5 November)

Selepas kisah Hansel dan Gretel yang menggambarkan sebuah rumah ‘dibuat daripada roti’, dengan atapnya daripada kek dan tingkap daripada barli, kedai roti di Jerman mula memperkenalkan rumah gingerbread yang penuh ketelitian dengan salji aising di atas atapnya, berserta kad Krismas.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...